Selamat hari Sabtu rakyat Malaysia yang bijaksana. Cuaca hari ini agak sedap juga, siangnya tak seram sangat. Ini bagus untuk menaikkan mood, seterusnya memandu kita untuk bersedekah sedikit dari segi senyuman.
Semalam berita jutawan kosmetik Dato' Vida penuh menghiasi timeline dan wall laman sosial. Semuanya gara-gara kesudian beliau berkolaborasi dengan Nuo Muso. Bukan kolaborasi macam Sleeq dengan Ramlah Ram itu, tapi yang lain, sebab Nuo Muso sudah tentulah tak pandai rap, apatah lagi menyanyi dengan sangat sedap.
Usaha sama mereka berbentuk penjenamaan semula bola sepak Kelantan ke arah yang lebih padu dan dahsyat. Dikhabarkan Dato' Vida sudi menaja skuad The Red Warriors selama 2 tahun dengan tajaan yang bernilai RM 16 juta! Wow! Ini satu berita yang bagus selepas diceritakan Kelantan sebelum ini bergelut untuk bersaing dalam Liga Malaysia musim 2016 akibat kekangan kewangan.
Tapi, seperti mee bandung Muo yang ada udang didalamnya, begitu juga berita ini, disebalik RM 16 juta, ada juga syarat-syaratnya, antaranya termasuklah kewajipan untuk Stadium pasukan dicat dengan warna pink. Selera Dato' Vida memang aneh-aneh. Penyokong Kelantan pastilah berasa hakikat ini terlalu pahit untuk ditelan, kerana pink bukanlah simbol seorang warrior sebenar. Dalam skuad power rangers pun ketua mereka memakai kostum warna merah, warna pink sekadar pelengkap sahaja bila mereka bertukar menjadi robot.
Apa pun, diharap kolaborasi Nuo Muso featuring Dato' Vida ini mampu menghasilkan impak yang maha dahsyat untuk bola sepak Kelantan. Janganlah menjadi seperti kolaborasi Sleeq dan Najwa Latif yang lagunya berulang-ulang, boleh capang telinga mendengarnya. Kalau dengar banyak kali silap-silap telinga boleh sebesar pintu masuk Econsave. Untuk dia, hey! untuk dia, hey! untuk dia, hey! Kepala bana!

Comments
Post a Comment