Tatkala matahari pagi Jumaat masih segan mahu naik kerana keberadaan bulan yang masih di atas sana, kami sudah bersiap mahu memulakan perjalanan. Sebelum bergerak, salah seorang jemaah kembara, Wan beberapa kali menendang tayar kereta bagi memastikan anginnya kukuh dan cukup zat. Selepas berpuas hati, barulah Wan kembali bertenang. Tidak mahu melengahkan perjalanan, selepas bersarapan roti puri bang Ali di Ayer Hitam, Johor, kami dengan bergegas maju ke lokasi pertama, kawasan peranginan Bukit Tinggi, Bentong, Pahang.
Melaka dan Negeri Sembilan kami dah potong awal-awal memandangkan dua negeri ini kami dah handal isi negerinya. Kira bau dua negeri ini pun kami dah reti, sekali tarik nafas dan pejam mata je dah boleh teka mana satu bau Seremban dan mana satu bau Portugis dekat Melaka.
Selesai di Bukit Tinggi, kami tuju pula ke Genting Highland. Sebelum pemanduan mendaki sekali lagi, kami rileks sekejap di hentian Genting Sempah untuk makan tengahari. Wan yang kelaparan terus menyambar lauk ikan keli goreng dengan mengabaikan doa makan. Aku terus menggelengkan kepala sambil berharap dia tak kelaparan lagi selepas ini.
Selesai bersantap, kami meneruskan perjalanan beraltitud tinggi mendaki Genting Highland. Baru separuh perjalanan, angin dingin mula terasa, kami membuka tingkap untuk memanjatkan syukur. Sebaik kami tiba di atas cuaca agak berkabus, dinginnya memeluk. Kami puas, aku pejamkan mata rapat-rapat. Rupanya sedikit biasan dari syurga itu wujud di sini.
Malang sekali, pada ketika kami sampai di sini, perkhidmatan kereta kabel sedang diselenggara. Aku fikir tauke kereta kabel ini mesti down jika tahu beliau kehilangan pelanggan macam kami pada hari tersebut sehingga memaksa dia order 3 gelas bir dan minum dengan kecewa yang banyak sambil menghadap unggun api.
Jam menunjukkan hampir 3.30 petang. Kami bergerak turun menuju ke Kuala Lumpur semula. Gegak gempita juga apabila Wan terhidu bau hangit pada bahagian tayar. Kami rilek kejap di bahu jalan, pad brek berasap. Mungkin faktor jalan yang bengkang-bengkok memaksa Nua selaku pemandu menekan brek dengan melampau sekali.
Selepas itu perjalanan kami lancar tanpa ada masalah besar, terutama dari hal kelancaran trafik di sekitar ibu kota.Terima kasih kepada ranger Rosli sebagai pelapor kesesakan lalu lintas.
Lokasi bermalam pertama kami, Sekinchan. Tepat jam 7.15 malam kami sampai di farmville, Sekinchan. Homestay berkonsepkan kontena.
Terletak berhadapan dengan sawah padi yang luas dan saujana mata memandang memberi kami ketenangan yang cukup.
Awal-awal pagi Sabtu kami keluar check out, bersarapan bersebelahan pasar besar Sekinchan dan dengan bergaya bergerak ke lokasi seterusnya, mercu tanda Teluk Intan, menara condong. Dibina pada tahun 1885 oleh British sebagai tempat takungan air yang berwawasan. Mendapat sentuhan arkitek China, jadi padanlah pun struktur bangunannya ada iras-iras bangunan Pagoda di Tanah Besar nun sana.
Geram juga aku boleh terpengaruh dengan Erna buat simbol love Korea ni. Bon Jovi mesti down kalau tengok aku amalkan posisi bergambar begini.
Lokasi seterusnya, Kellie Castle di Batu Gajah Perak. Di bina oleh William Kellie Smith dan tahukah anda, lif pertama di tanah melayu dibina disini.Tahukah anda juga, yang istana ini tak pernah siap? Kellie mati ketika belum sempat menyiapkan keseluruhan istananya ini. Tahukah anda akan semua ini?
Tak payahlah jawab, percayalah, aku tak peduli pun.
Keh. Gurau-gurau!
Tak lama di Kellie Castle, kami masih steady dan menuju pula Tasik Cermin, Ipoh. Buat yang pertama kali sampai pasti menyangka Waze baru saja mempermainkan mereka, lalu memfitnah dan berharap syarikat Waze jatuh bankrap. Hal ini kerana jalan masuknya yang kecil dan agak terpencil, di kelilingi batu kapur yang besar, juga ada satu kawasan lori melombong pasir. Namun di bawah batu kapur tersebut, ada sebuah gua kecil yang mendorong kita untuk sampai ke tasik yang begitu mustahak bagi memberi tanggapan positif buat daerah Ipoh. Gua tersebut pantas mengingatkan aku pada Harrison Ford dalam siri pengembaraan Indiana Jones.
Panjang gua tak sampai pun 100 meter. Berjalan kakilah dengan tawaduk dan tersergamlah tasik cermin di sebaliknya.
Selesai di sini kami bergerak ke Clover Hotel, penginapan malam kedua kami. Agak 10 minit juga dari bandaraya Ipoh. Tempahan untuk bilik dah kami buat awal-awal. Jadi datang tinggal check in sahaja.
Petangnya kami bergerak ke restoran Yong Suan nasi ganja yang famous di Ipoh. Nasib kami baik, kedai masih dalam waktu operasi.
Di mulakan dengan Bismillah, kami makan dengan gaya umat-umat yang ada pedoman.
Bits and Bob ais kepal
Bangunan Plan B Ipoh
Disebelah malam, kami bergerak bebas sekitar Ipoh dan singgah di Kinta Riverfront. Lokasi sedap juga ni bagi pasangan kekasih. Perhati air sungai sambil meluahkan bibit-bibit cinta. Jack dan Rose pun belum tentu pernah buat begitu dekat sini. Di sekitar sini juga terdapat banyak gerai-gerai menjual cenderamata. Sempat juga Nua beli satu t-shirt cap Ipoh sebagai bukti dekat orang Kluang, Ipoh dia dah sampai.
Souvenir shop Kinta Riverfront
Awal pagi Ahad yang tenang, kami keluar bersarapan di perkarangan Stadium Ipoh. Kopi orang Ipoh memang berdesing. Atas kemantapan rasa, aku sempat beri satu jari bagus yang bergegar kepada tuan kedai sebelum beredar.
Kami maju beberapa ratus kilometer lagi sehingga ke Penang. Masuk melalui jambatan kedua Pulau Pinang, singgah di Georgetown, pekena the road famous Teo Chew cendol dan keluar dari Pulau melalui jambatan pertama.
Hello Georgetown!
Selesai dengan Georgetown, negeri dengan gelaran 'Kerajaan samudera' di zaman Kedah Tua pantas menangkap tumpuan kami. Sepanjang perjalanan memasuki Kedah, kami melepasi kaki Gunung Jerai, kemudian kiri dan kanan kami dihiasi ikon utama Kedah Darul Aman, sawah padi. Jejak sahaja di Alor Setar, kami check in untuk malam yang ketiga di Zanisyah Homestay.
Ketibaan kami disambut mesra Haji Sabri selaku pemilik homestay. Perwatakan beliau yang ceria menyenangkan hati kami, berkemeja T lengan pendek dan lengkap berkopiah lalu elok pula tutur bahasa. Pendek kata hajinya cukup, akhlaknya kukuh.
Kami tak berdiam diri, Kedah negeri yang diasaskan oleh Merong Maha Wangsa ini harus memberi kami sesuatu. Langsung kami bergerak mencari gerai Mee Kuah Tulang yang khabarnya menjadi favorite rakyat setempat.
Selesai makan, kami bergerak ke Gua Gunung Keriang. Stim betul Kedah dari atas sini. Trek mendaki disertakan dengan anak tangga bagi memudahkan pendaki, nak lagi pendaki amatur macam kami.
Melengkapkan kembara bumi Kedah, kami meredah masuk hingga ke pelusuk kampung bagi mencari kawasan bendang, kemudian menikmati tenggelamnya matahari senja yang hening kuningnya menguning.
Sunset are proof that
no matter what happens
every day can end beautifully
Rata-rata yang kami jumpa di bendang mempelawa kami berkunjung ke rumah mereka walaupun kami orang asing. Aku anggap ini sebagai budaya yang murni dan terpuji. Orang Jerman pun tak buat budaya gini aku ingat. Mengapa orang Kedah begitu steady?
Selesai di Kedah, awal pagi tepat jam 7 kami keluar. Masing-masing cekap dan menepati masa lebih bagus berbanding sesetengah remaja Jepun, aku terasa ingin sekali menangis terharu. Selesai ucap terima kasih pada Haji Sabri, kami menempuh perjalanan panjang ke Kelantan pula. Aku kira ini perjalanan paling mencabar sepanjang road trip ini. Kami melewati Gurun, Sik, Gerik, Royal Belum, Jeli dan Ayer Lanas sebelum tiba di Rantau Panjang.
Berhenti bergambar disalah satu kawasan tanah tinggi selepas melepasi Daerah Gerik
Masuk kedai coklat, aku dan Wan geleng kepala sambil berharap ada satu kedai kompilasi kretek sebegini rupa
Rantau Panjang zon bebas cukai
Kami luangkan sedikit masa membeli-belah di Rantau Panjang. Kemudian bergerak ke Kota Bharu. Di sana, seorang pemandu pelancong yang merupakan anak jati Kelantan sudah siap menunggu kami di tempat penginapan.
Berdiri paling kiri itulah Mekna, pemandu pelancong kami. Manis bukan?
Mekna kemudian membawa kami melawat sekitar Kota Bharu. Sampai di Kota Bharu dah menjadi kewajipan untuk ke Pantai Cahaya Bulan; wajib! Bukan sunat muakad deh.
Wakaf Che Yeh. Aku boleh jamin barang-barang di sini murah dan berpatutan
Keesokan paginya selepas bersarapan dengan nasi Kak Wook, Mekna memandu kami ke Pasar Besar Siti Khadijah, satu lagi ikon besar negeri Cik Siti Wan Kembang ini. Tapi tahukah anda, pasar ini pernah dikenali dengan nama Pasar Besar Buluh Kubu sebelum ditukar namanya.
Makanan orang Kelantan aku isytihar sebagai yang paling sedap. Makanannya manis-manis, begitu juga dengan rakyatnya. Kelantan kelihatan steady membawa tradisi mereka bersama-bersama dengan arus kemajuan dunia.
Pemandangan dari tempat penginapan kami jelas membuktikan status Kelantan sebagai negeri agragia. negeri pertanian.
Sebelum ke Terengganu, kami singgah ke lokasi bergambar yang terkenal di Pantai Senok. Usaha penanaman pokok tersusun begini wajar dipuji tapi sedikit down juga bila melihat sampah yang dibuang merata-rata di sekitar sini. Malulah dekat Detektif Conan kalau dia datang sini kang.
Tidak lupa untuk singgah di Bukit Keluang, Besut.
Jejak saja di Terengganu, aku dah tak ingat benda lain, cuma Saleem yang main dalam kepala otak. Penyanyi berbakat yang pernah mencabar hebat populariti Wings melalui kugiran beliau, Iklim. Homestay seterusnya merupakan yang paling dinanti-nanti, Nurul Homestay yang terletak di Bukit Tok Beng, Kuala Terengganu.
Suasana epik rumah kampung yang tersergam suci berdekatan kawasan pantai.
I could start dreamin' but it never ends
As long as you're gone we may as well pretend
I've been dreamin'
Straight from the heart
Give it to me straight from the heart
Tell me we can make another start
You know I'll never go
As long as I know
It's comin' straight from the heart
Keadaan selesa dan tenang buat aku bersatu dengan lagu Bryan Adams secara tiba-tiba. Lelaki Kanada itu kemudian terpacul mengendap aku dari langit. Bryan tampak selesa berkeadaan duduk sambil menongkat dagu. Suara entah siapa yang menjerkah mengajak aku keluar makan mula menggusarkan Bryan. Sebelum perlahan-lahan Bryan hilang ditelan langit, dia sempat kenyitkan sebelah mata dengan tertib. Aku bingkas bangun untuk memberi satu tabik paling kemas.
Apa yang terjadi antara aku dan Bryan Adams hanya orang yang betul-betul bersatu dengan rock gemersik sahaja yang alami.
Seperti di Kelantan, kami mendapatkan juga seorang teman untuk menggepalai perjalanan di Terengganu, Azie namanya. Beliau merupakan penuntut di Universiti Tunku Mizan Zainal Abidin.
Uptown kontena pantai tok jembal
Azie memakai tudung berwarna pink segar
Azie memacu kami ke sekitar Kuala Terengganu dan melawat pantai batu buruk, pasar payang, pantai Teluk Ketapang sebelum bersantai di uptown kontena Pantai Tok Jembal. Tempat ini agak hips, sesuai untuk orang muda yang merdeka dan yang terdesak juga untuk membahagiakan awek mereka. Pada aku, melayan kompilasi slow rock, secawan kafein dan mungkin beberapa batang kretek adalah benda yang sedap juga kalau di sini.
Sejak zaman konfontasi Indonesia-Malaysia, aku kira salah satu sumbangan terbesar Indonesia adalah melalui penghasilan kretek mereka yang segar dan tembakau berbunyi rapuh. Benda macam ini, syarikat ulung macam American Tobacco pun tak boleh buat.
Malam yang sendu di Terengganu di tutup dengan lagu yang sendu juga selepas bersembang hal-hal mustahak sehingga jam 2 pagi.
Melengkapkan lagi jelajah di Terengganu, Nua mengajak kami ke tempat yang aku dan Wan tidak boleh kata tidak, masjid kristal. Lagipun tak manis kalau kita abaikan saja mercu tanda negeri Terengganu ini.
Awal pagi Rabu bersamaan hari terakhir road trip ini, kami langsung ke Kuantan, Pahang, tapi sebelum itu, kami merasa dulu sepinggan nasi dagang original Terengganu. Bergerak atas cadangan Erna, tiba saja di Kuantan kami menuju pula ke cendol air putih. Mengikut review orang ramai, ini adalah the best cendol in town.
Cendol air putih yang terletak di Jalan Air Putih, Kuantan
Kemudian ke Teluk Cempedak yang mengikut fitnah orang tempatnya cantik bagai nak rak.
Kemudian kami bergerak 10 minit lagi untuk merasai sendiri nikmat Mee calong Beserah. Terletak betul-betul di bahu jalan, pencarian kedai ini tidak lah begitu sukar.
Mee Calong Beserah yang pernah mendapat liputan jalan-jalan cari makan
Aku angkat sekali lagi isyarat ibu jari yang bergegar. Selesai mengisi perut, kami terus menuju ke selatan tanah air. Ini pun tidak boleh kata tidak, mesti balik! Perjalanan masuk ke sempadan Johor diiringi hujan. Johor macam menanti kepulangan kami dengan sebak. Aku pun terasa seperti askar perang Soviet yang dinantikan kepulangannya dari misi keamanan yang sukar dan mencabar. Kemudian aku menunggu pula satu istiadat besar yang mana aku bakal dikalung pingat kebesaran atas jasa dan keberanian sepanjang menjalankan misi. Huh!
Kira-kira jam 8 malam baru lah kami tiba di Kluang, Johor. Masing-masing pun pulang dalam keadaan letih. Maka dengan rasminya jelajah semenanjung kami tamat dengan bergaya, semua pun pulang dengan gembira yang banyak. Terima kasih kepada semua yang terlibat, Wan, Nua, Erna dan Adah juga selaku akauntan jelajah, yang bertanggungjawab membuat kira-kira bagi mencukupkan perjalanan sejauh 3000 km
Sekian.
Zul Azhar
Dalam perancangan untuk sesuatu yang lebih besar menjelang awal tahun 2017.
















































Terbaik .. #simbollovekorea ..kehkeh
ReplyDeletenak tanya pasal minyak habis berapa RM ya?
ReplyDelete