Skip to main content

Satu Laporan Darul Aman



Tepat jam satu awal pagi selasa, satu rombongan menaiki van bergerak cergas meninggalkan bandar baru Ayer Hitam. Kesemua penumpang dan pemandu yang terdiri daripada sebelas belia begitu bersenang hati, tidak mengantuk dan tidak nyanyuk, seiringlah dengan perjalanan yang baru beberapa minit. Ditempat duduk belakang,  suara belia bersembang dan bunyi rekahan kacang bergilir-gilir kedengaran. Ada yang menyanyi secara runcit. Jenis nyanyi yang amat perlahan namun oktafnya tertib.


Diluar, keadaannya optimis. Angin agak sekata, melahu dan berpatutan. Begitulah normalnya negara pelantar sunda. Saya selaku pemandu pertama cuba kekalkan ketenangan tahap tinggi dengan tidak memandu seperti tiada hari esok. Pada usia yang semakin banyak, tak ada lagi spirit Aryton Senna, 90-100 km/j sudah syukur.


Suara berborak dibelakang tak berlangsung panjang, daya tahan mereka mula longgar, ada yang sudah menyandar mata. Semakin lama semakin sunyi dan semakin itu lah saya terasa seperti memandu van jenazah. Bagi meredakan rasa-rasa angker saya buka satu siaran  radio tempatan yang main rock alternatif bagi bunyikan sedikit suasana awal pagi yang kian sunyi.


Dari Kluang ke negeri Kedah, singgah Seremban menghisap rokokkkk..kami ucapkan selamatlah datanggg, apa yang kurang dicaci jangannnnn...


Selepas merasa sesuatu yang tidak patut, saya berhenti di Seremban dan melakukan apa yang patut. Berhenti, tukar pemandu dan saya pula yang tidur. Mylo (bukan nama sebenar) yang masih cukup zat dan nutrisi menyambung tugas dan memandu sampai ke Perak. Dekat jam 9 pagi, barulah kami sampai di daerah Kulim. Imunisasi Mylo yang baik dan berdaya saing sehingga dia boleh berjaga dan pandu hampir separuh malam buat saya rasa mahu bagi satu ibu jari bergegar.


Di Kulim kami bersarapan berlebih kurang saja, 2 keping roti canai dan secawan kopi 60 sen. 60 sen tuan-tuan. Menangis presiden kopi sedunia kalau tahu ni. Selesai sarapan kami teruskan masuk ke kampung-kampung terpencil, menikmati selekoh-selekoh ringan sebelum sampai ke Top Tree Walk Sungai Sedim. Merupakan satu laluan keluli seluas lebih kurang 4 kaki lebar, digantung kukuh pada celah-celah pokok yang tinggi, gagah dan rata-ratanya berukur lilit dua ke tiga pemeluk lelaki dewasa, Top Tree Walk memberikan sesuatu kepada Kulim. Dibawah laluan, ada satu pemandangan orgasm, sebatang sungai jernih yang mengalir lancar dan sihat.


Sungai Sedim.






Selesai di Kulim, kami menyambung perjalanan ke Gurun. Bunyi rotor bearing yang berdengung pada tayar  belakang, mula buat saya rasa seolah-olah saya sedang menumpang sebuah mesin jahit tepi. Namun itu hanyalah satu disaster tahap minor, selagi blok enjin tidak bergemerincing, semuanya oke dan terkawal.


Sebelum itu, kami turun memburu satu menu ikonik negeri Merong Mahawangsa, nasi daging. Benar-benar meruntun perasaan. Saya ingat kalau Donald Trump yang rasa, silap-silap beliau titah Gordon Ramsay mengaji ilmu nasi daging untuk dijadikan makanan ruji rumah putih dan Amerika keseluruhannya. Bila dah tersebar dekat Amerika, boleh jadi Kim Kardashian mengidam nasi daging kalau dia hamil nanti. Kanye West lah yang kena bangun pagi-pagi pandu Rolls Royce cari orang meniaga nasi daging di tepi-tepi jalan Los Angeles.


Naik ke Gurun. Selekoh-selekoh ringan masih pencabar utama kami. Cuma satu dua sahaja selekoh darjah kesukaran tinggi yang menuntut pemandu pamer kemahiran berselekoh terbaik disamping gerakan transmisi turun naik gear yang aktif. Untuk sampai ke Gurun, kami perlu melalui Sungai Petani terlebih dahulu. Di bawah matahari yang memancar bersemangat, keletihan pantas kami rasakan. Sampai saja di Gurun, kami panjangkan lagi kembara sehingga  Pokok Sena dan kemudian daerah Pendang, lokasi bermalam untuk hari pertama. 


Sakudut (bukan nama sebenar) yang mula tunjuk tanda-tanda awal menghidap darah tinggi pada usia belianya menendang pintu sambil berlari masuk bilik air untuk sejukkan badan dengan mandi air kolah. Kami bermalam di satu rumah kampung strategik, berhadapan betul-betul dengan bendang sawah. Kami berehat runcit-runcit dan keluar semula selepas asar untuk nikmat suasana kampung sebenar. Tuan rumah yang saya kenalkan sebagai Atok, bermurah hati pinjamkan kami joran untuk memancing parit. Air yang tenang di lima minit pertama tiba-tiba berkocak dan rasmi, seekor ikan yang entah apa jenama berjaya didaratkan oleh Adik. Sementara Ayien pula hilang kemanusiaan dan menampakkan sisi gelap seorang pemancing parit sawah dengan menaikkan anak ikan sambil ketawa kejam. Saya ingat ikan tu baru nak menikmati fasa kanak-kanaknya dan belum sempat berfikir pun apa cita-citanya masa dewasa nanti. 


Sementara Nua terus tawakal dan redha lepas 5 minit ikan tak makan umpan. Paling tak boleh pakai Mylo, sana sini jaja temberang cakap ikan makan umpan cengkerik dia tapi mulut ikan tak masuk-masuk lagi ke mata kail. 10 kali campak, 11 kali bagi alasan macam tu, tapi satu ekor pun tak dapat. Rasa macam nak tendang dia masuk parit.











Malamnya kami sekadar keluar ke pekan berhampiran dan hanya pulang selepas mabuk dan overdose air jagung. Dia punya manis buat saya teringat hospital. Masa lebihnya dimanfaatkan dengan berehat.

Awal pagi hari kedua, kami bersiap, sarung pakaian terbaik dan bersarapan sungguh-sungguh. Selesai bersalam dan ucap selamat kepada Atok, kami mula bergerak meninggalkan Pendang dan menuju ke ibu negeri Kedah, Alor Setar. Perjalanan memakan masa lebih kurang satu jam dan lokasi pertama, menara Alor Setar.


Berketinggian 543 kaki dari daratan paling darat, menara ini merupakan monumen mustahak dalam pengukuhan sistem komunikasi negeri. Orang agama guna untuk tujuan cerap melihat anak bulan. Beberapa kilometer dari situ, kami singgah di Pekan Rabu. Walaupun dipanggil Rabu, hari-hari selain Rabu pun masih beroperasi.


Rasanyalah.




Turun dari menara, sesama kami mula runding tempat untuk makan tengahari nanti. Perbincangan dibuat lebih kurang sebelum satu kata putus dicapai. Kami memilih restoran yang boleh tahan. Jumlah pelanggan pun melampau. Melihatkan jumlah pelanggannya, saya cuba agak berapa kali tuan kedai naik umrah. Dengan perut yang kosong, saya dan yang lain-lain pegang pinggan nasi dan beratur dengan penuh nilai-nilai asia. Kesimpulan pantas selepas makan, masing-masing angkat ibu jari bergegar tanda puas hati. Saya sempat mengangguk perlahan sambil harap tuan kedai masuk syurga.

Kemudiannya kami buat lawatan rambang ke tempat-tempat bagus, gua gunung Keriang salah satunya, cuma tak masuk muzium. Walaupun muzium di Alor Setar boleh dikira sebagai antara lokasi lawatan premier, malangnya muzium tak cukup belia. Tak rock pun iya juga. Pernah kau nampak Amy Search masuk muzium? 

Disebelah petang, kami ambil kesempatan makan laksa dan cendol. Uniknya, satu ekor ikan diletakkan sekali kedalam mangkuk sebagai peneman laksa paling setia. Dalam industri laksa tanah air, Alor Setar beberapa langkah sudah meninggalkan pesaing-pesaing mereka.

Sebelum balik rumah menginap, kami singgah tempat yang tidak boleh tidak, tempat bangkitnya rohani, Masjid Zahir. Masjid ini dah berusia lebih 1000 tahun. Di samping senibina menarik, mozek dia sejuk.


Some friends aren't really friends, they are family

Menu sebelah malam lebih syurga, roti nan cheese Pakistan. Tambah syurga, kuah dagingnya yang benar-benar besar jasa. Pemergiannya tak disia-siakan brader-brader Pakistan. Perut yang dah diisi memberi tenaga tambahan untuk kami masuk uptown pula. Kemahiran menaakul kami diuji hebat disana, antara mahu beli dan tak mahu.

Selepas mempertimbang habis baik satu teori 'dah sampai takkan tak nak beli', keesokan paginya, masing-masing pergi ATM. 

Hari ketiga, Bukit Kayu Hitam. Tumpuan terbesar disana selain kedai bebas cukai adalah transit sempadan Malaysia-Thailand. Semasa melepasi sekatan jalan askar sempadan, saya cuba keluarkan bahasa Thailand terbaik yang saya ada. 

"khap khun khap".

Ucap saya lembut dan yakin sambil tunduk kepala sikit tanda adab ketimuran yang kukuh dalam diri. Dah lama saya tunggu peluang nak guna perkataan tersebut walaupun tak tahu makna. Rasa macam nak menangis bila dapat guna. Berkat ikhlas berucap agaknya, abang askar tak teragak-agak suruh kami jalan.

Selesai belanja beringat-ingat, ingat tuhan, ingat haribulan gaji, daftar keluar sempadan dan pemeriksaan kastam, kami turun semula dan berhenti di poin periksa seterusnya, Sintok.



Di antara Danok dan Sintok, kita jatuh cinta

Disana kami melawat satu sahabat penuntut UUM merangkap bapa viral kebangsaan yang semakin lupa jalan balik. Minum kopi eropah, sambil kami bercakap hal-hal bukan semasa sebelum bergerak semula ke tempat menginap malam ke tiga, Sik.




2 jam mengendarai, kembara dilatari jalan-jalan sempit dan hutan-hutan bukit yang mencipta banjaran sederhana. Di atasnya, biru langit troposfer konsisten dan menjadi zahir permata paling sirna, mengingatkan saya kepada langit pagi Moscow walaupun saya tidak pernah lagi ke sana. Lagu-lagu ketuhanan diputarkan berturut-turut di radio, saya perhatikan Ayien, dia banyak urut dada sambil termenung ke luar tingkap. Masuk saja lagu Backstreet boy, saya dan Nick Carter bersatu vokal membentuk kombinasi ampuh, kami menyanyi serasi bagaikan sudah berganding sejak tahun 93.


Menjelang asar, kembara kami sampai di pinggir tasik tersohor, tasik Beris. Dari bahu jalan, tasik tersergam anggun dan makmur. Kenderaan mula dipandu perlahan, kami masuk ke kawasan resort dan mendaftar masuk. Menaik spiritual kami bila terpandang seorang makcik membongkok dicelah rimbunan pokok sambil mencangkul sesuatu.

Di tempat duduk paling belakang, sayup kedengaran suara Adik mengucap. Kami hanya ketawa kecil. Namun bukan itu sahaja kejadian seram yang kami alami. Selepas turun van, Adik berlari masuk satu chalet. Menyedari sesuatu yang tidak kena, saya pergi periksa Adik, saya lihat Adik sudah separuh berbogel dan menuju ke bilik air didalam sana. Dengan menjengah kepala dari pintu dan nada yang separuh lantang, saya menjerkah.

"Woi! Ni bukan bilik kita, bilik kita dekat sebelah"

Adik sengih Ali Baba sambil sarung baju semula dan usung beg keluar. Entah chalet siapa dia main masuk. Seram betul.

Masing-masing naik ke chalet sebenar dan gegas bersiap. Sakudut sekali lagi terajang pintu dan laju sekali menyarung seluar bola. Saban hari, sikap tak sabarnya semakin ketara. Seringkali bapanya En Yazid geleng kepala melihat ketidaksabaran beliau, pernah nak dibawa berubat cara islam dekat Malim Nawar, tapi Sakudut menolak. 


Petang itu kami turun ke tasik dan berkayak girang.






Hal paling bergeliga sekali untuk dibuat dekat tepi tasik ni dah tentulah barbeque. Bakar ayam bakar kambing dekat tepi tasik ni saya ingat Albert Enstein pun tak pernah buat, dan itulah makan malam kami. Perkakas BBQ semua disediakan pihak resort.





In every walk with nature, one receives far more than what he seeks

Selepas makan beradab, kami duduk berkumpul pada satu pangkin kayu yang menghadap gunung dan tasik, dengan bekal dua jag teh berasap dan bau wangi, kami bersembang, berperasaan dan beremosi sehingga ke larut malam. Inilah scene paling menang.





Hari keempat, kami mensasarkan untuk turun ke Penang atas satu tujuan rasmi di USM, dalam masa yang sama kami masih perlu ke Baling untuk melengkapkan jumlah daerah. Melewati jalan-jalan satu lorong ke Baling, dan meneruskan perjalanan ke Terap pine forest. Hutan ni ada unsur-unsur Inggeris sikit. 







Lokasi penutup sebelum perjalanan panjang ke Johor adalah Georgetown. Tak manis kalau dah sampai Penang tak beli buah tangan, nanti apa pula kata Lim Guan Eng, dekat Kedah kita beli macam-macam, dekat Penang kita buat dek sahaja. 






Seperkara lagi hal yang tak patut kita abaikan bila dah sampai di Penang adalah singgah di kedai cendol paling handal, cendol Teo Chew. Untuk dapat rasa sebagus cendol Teo Chew ni, saya ingat 8A SPM atau menjuarai tokoh maal hijrah pun belum tentu membantu. Benar-benar sesuatu.



Selepas keluar pulau dengan Feri, kami bergerak mencari selatan, berhenti di Semanggol, makan malam dengan sugul dan bergerak balik membawa jiwa yang masih bertaut di Darul Aman dan pekasam ikan puyu di bonet.



Satu kembara dua ribu kilometer yang berkesan, berjasa dan ghairah. Terima kasih semua yang terlibat, jemaah kembara, penjaga tol, Mira Petronas Ayer Hitam, konsesi lebuh raya, Amad Belia, Haji Safari, pekerja kerajaan, kontraktor kecil, usahawan IKS, pengajar ILP, peniaga Pekan Rabu, makwe kuih karas, penjual jamu, Amy search, Nick Carter dan semualah, terima kasih!

Comments

Popular posts from this blog

Road Trip Mengelilingi Semenanjung

Tatkala matahari pagi Jumaat masih segan mahu naik kerana keberadaan bulan yang masih di atas sana, kami sudah bersiap mahu memulakan perjalanan. Sebelum bergerak, salah seorang jemaah kembara, Wan beberapa kali menendang tayar kereta bagi memastikan anginnya kukuh dan cukup zat. Selepas berpuas hati, barulah Wan kembali bertenang. Tidak mahu melengahkan perjalanan, selepas bersarapan roti puri bang Ali di Ayer Hitam, Johor, kami dengan bergegas maju ke lokasi pertama, kawasan peranginan Bukit Tinggi, Bentong, Pahang. Melaka dan Negeri Sembilan kami dah potong awal-awal memandangkan dua negeri ini kami dah handal isi negerinya. Kira bau dua negeri ini pun kami dah reti, sekali tarik nafas dan pejam mata je dah boleh teka mana satu bau Seremban dan mana satu bau Portugis dekat Melaka. Selesai di Bukit Tinggi, kami tuju pula ke Genting Highland. Sebelum pemanduan mendaki sekali lagi, kami rileks sekejap di hentian Genting Sempah untuk makan tengahari. Wan yang kelaparan terus me...

Empat pendekar menakluk Penang

Day 1   Pada pagi Isnin yang maha sejuk dan sunyi, mendaratlah empat orang pendekar yang jauh belayar dari sebuah negeri di selatan ke bumi Butterworth. Pelayaran jauh dari selatan tanah air ini membawa hajat manis mahu menakluk negeri Pulau Pinang, yang sebelumnya dah dijajah kapitano berbangsa Inggeris yang diberi nama Kapten Francis Light. Kedatangan kami pagi itu terlalu awal rupanya, sampaikan matahari pagi yang sedap pun tak sempat menyambut kedatangan kami, yang ada cuma bulan yang prestasinya semakin malap dan kusam, maklumlah, dah nak habis syif bekerja. Lokasi jajahan pertama kami sudah tentulah kota klasik Georgetown. Memandangkan feri pertama bergerak pun seusai subuh, kami duduk bertenang dulu sambil menghirup secawan kopi utara. Bergambar kenangan di terminal Butterworth.   Selesai minum, kami berjalan ke ruang menunggu feri pula, disitu penantian kami berulang kembali, cuma tidaklah terlalu lama, matahari pun masih belum masuk syif lagi. Semakin m...