Pada satu petang yang bahagia di warong Man Cicak, duduk bertenang beberapa orang pemuda pada kerusi plastik, didepan mereka tersergam satu meja lipat empat segi dengan air-air murah dan mampu milik baru dihidangkan pekerja Man Cicak. Mereka semua leka bergosip hal ehwal percintaan, tak kurang juga cerita bekas graduan IPTA tempatan yang mengeluh hidup susah kerana perlu menyewa rumah semasa study dulu. Tak cukup dengan sewa rumah, duit makan, minyak motor, belanja awek keropok lekor dekat pantai PD, semuanya cerita yang berunsur beban.
"Berat mata memandang, berat lagi seguni beras, sabar wan..sabar" Pujuk Mylo jambu sambil menepuk-nepuk bahu gempal Wan.
Ceritanya jadi sedih pasal jodoh Wan dan awek dia tak berpanjangan. Kira Wan gagal dengan cemerlang dalam pelaburan dia membelanja awek keropok lekor. Sepul kering mendakwa bahawa awek Wan memang denyut, sambil dia bersungguh membuat isyarat tangan menunjukkan potongan badan yang elegan. Cuma Sepul yang pernah jumpa bekas awek Wan ni, jadi dia mahir selok belok fizikal bekas awek Wan. Gua yang turut berada di meja tersebut curi-curi perhatikan Wan, dia tak menggelengkan kepala langsung, bagi gua itu dalil yang kukuh untuk menerima kebenaran di sebalik dakwaan Sepul Kering.
"Kau tak reti jaga awek Wan." Sepul kering membakar, dia kemudian ketawa terhenjut-henjut sambil menggigit straw sampai benyai.
"Futsal jom malam." Ajak wan. Wajahnya tak nampak geram, dia steady je ubah topik. Tapi itu muka, hati dia yang bergaram, siapa tau.
"Talipon pakcik court, tanya malam ada kosong tak" Arah Ijat baung yang senyap dari tadi. "Pis, talipon ah cibai."
Apis janggut menyerahkan talipon. Memang tinggal apis je yang boleh diharap dalam bab talipon ni, dia sentiasa ada kredit. Itupun pasal dia kena call awek dia selalu. Apis sambung mengatup batang rokok canyon hijau dan menghisapnya dengan stim sambil mengurut janggutnya. Tugas bercakap dengan pakcik court diserahkan pada Mylo jambu. Selepas setting elok-elok rambut, barulah Mylo memegang talipon.
"9.30? Oke, 2 jam pakcik." Mylo menekan butang letak. Sekali lagi dia ejas rambutnya. Mylo terlampau kerap mengusik rambutnya, Amin botak sampai berkecil hati kadang-kadang. Potong tapak satu, tak ada apa yang Amin boleh usik dekat kepala dia, cuma sisa rambut yang pendek, tajam dan hodoh. Dari jauh, kepala Amin ada rupa sisik ikan sikit.
"Cakap budak ni pukul 9, kalau cakap 9.30, pukul 10 kang dorang sampai." Tegas Mylo jambu. Ijat baung mengangguk akur, lekas-lekas dia menyampaikan amanat tersebut di group whatsapp. Jarinya mencongak jumlah pemain yang dijangka turun malam karang. "Kau main tak mi?" Soal Ijat pada Nazmi Mael. Pemuda berfahaman indie itu mengangguk dengan beria, macam esok-esok dia tak boleh mengangguk lagi dah.
***
Barisan pemain yang terdiri daripada Wan sebagai penjaga gawang, Apis janggut, Ijat baung, Mylo jambu dan Sepul kering mengambil tempat di dalam court. Mereka menentang pasukan favorite, Shahdan Raver.
'Bila manusia dah tak mahu jadi manusia, mereka menganut fahaman Raver, selepas itu mereka bukan manusia lagi."
Atas kertas, Shahdan Raver mempunyai kelebihan, baik dari segi skill dan taktik, sementara pasukan Ijat baung datang dengan harapan baru, menamatkan badi kekalahan dengan team Shahdan Raver. Lepas-lepas begitu juga harapannya, tapi harapan yang terlalu tinggi cuma memakan diri. Ijat baung tercungap-cungap seperti ikan yang dinaikkan ke darat di tengah court sementara Shahdan Raver bermain dengan berjalan kaki saja. Tapi itu cerita lepas, kita manusia setiap hari kena buka buku baru. Hari isnin buku baru, hari selasa buku baru lagi, begitu juga dengan hari rabu. Jadi bagaimana pula dengan Khamis, Jumaat, Sabtu dan Ahad? Ya, buku baru juga.
Semuanya bermula bagus, Wan melakukan beberapa aksi menyelamat yang penting, Ijat baung pula rilek merancang permainan dari bawah. 5 minit bermain, masih kosong sama, pencapaian baik untuk seorang lelaki gempal yang bermain bola. "Yesssss!" Jerit Ijat setiap kali Wan berjaya menepis bola keluar. Mereka bertahan menahan asakan, cuma sekali sekala menyerang namun dihampakan dengan penyudah Mylo jambu yang merembat seperti orang hilang pedoman. Huh! Mylo jambu mendengus hampa sambil mencekak pinggang setiap kali dia melepaskan peluang, sekali dua nampak pro, dah banyak kali buat begitu, Ijat mula naik darah.
"Hoi. Dah lama ke korang main." Satu suara tiba-tiba meredakan ketegangan di dalam court. Semua mata memerhati ke arah suara tadi di pinggir luar court.
"Tompok.." Sapa Ijat ceria. "Baru sampai ke pok?"
Tompok tersenyum. "Baru sampai, aku gerak dari JB petang tadi, hujan pulak dekat Machap, tu yang lambat."
Sebaik tompok masuk ke dalam, court mendapat satu lagi sumber cahaya selain lampu tumpu di setiap penjuru. Dahi Tompok, licinnya melampau, seperti tertanam batu granit disitu.
Permainan kembali bersambung. Wawi cendol dah mula bising-bising dekat luar. "Lambat siak korang nak gol, cepatlah, ada team lagi nak main ni."
"Bisinglah kau Wi." Bentak Ijat baung. Wawi cendol melopong tak puas hati, menampakkan barisan giginya yang mancung.
Peraturannya mudah, tak ada masa dan pasukan yang menjaringkan dua gol dulu dikira pemenang dan kekal untuk perlawanan seterusnya. Geram agaknya melihat Apis janggut dan Mylo jambu bermain dekat atas, Ijat mengarahkan Sepul kering naik menyerang. Sepul tak menunggu lama untuk memberi impak, hasil gelecekan dari tepi, dia kemudian mengumpan bola di tengah luar kotak D, Ijat yang berada disitu terus menonjol bola menggegar jaring gol lawan. 1-0 team Ijat baung mendahului. Sekaligus mengajar Mylo jambu teknik yang tepat untuk menjaringkan gol.
Shahdan Raver mula cuak. Satu gol lagi, team beliau akan tersingkir. Ijat baung masih meraikan jaringan tadi. Laungan Yessss! masih kedengaran dan memanaskan telinga budak-budak Shahdan Raver. Mereka mengatur serangan lagi, kali ini lebih pantas. Satu hantaran, dua..tiga, empat hantaran, dannn gol balas bagi pasukan Shahdan Raver. Begitu pantas dengan hantaran serba pendek, menjadikan kedudukan satu sama.
"Ish tak nampak dok. Sory ah jat." Wan memberi alasan.
Shahdan Raver tak meraikan pun sebagaimana Ijat tadi. Itulah beza orang yang selalu dapat gol dengan orang yang jarang-jarang. Bola ditengah semula, Mylo jambu tolak kepada Sepul Kering, dia teragak-agak nak pass ke belakang, Shahdan Raver mula meninggikan tekanan, Sepul bertindak solo di bahagian tepi, lariannya bersama bola goyah, bola tak dikawal kemas, pertahanan Shahdan Raver merampas dengan sebelah kaki sahaja. Counter attack dilancarkan, Ijat baung dalam masalah, Apis janggut dan Mylo jambu dah terlanjur dibahagian atas, Ijat berdepan tiga pemain, tiga lawan satu, Shahdan Raver melakukan dua ke tiga pass dengan kerja kaki yang lincah, bertukar-tukar hantaran kiri ke kanan, kanan ke tengah, Ijat baung menggadai maruah mengejar bola kesana kemari, buku lalinya yang menampung berat badan hampir 100 kg kian rapuh dan lemah, Ijat akhirnya rebah akibat kelemahan aerodinamik badannya sendiri.
Shahdan Raver yang kemaruk kemenangan hanya mengabaikan Ijat Baung yang menjadi seperti busut disitu, dia terus menyerang dan merembat ke arah gol. Tak mendapat restu dari tuhan bola agaknya, rembatan Shahdan Raver sekadar menggegar palang gol dan melantun semula tepat di kaki Mylo Jambu. Situasi berubah sekelip mata, kini situasi 3 lawan 1 berpihak pada pasukan Ijat baung pula.
"Hiyaaaaarrrrrrhh!" Ijat perlahan-lahan bangun semula. Mylo membawa bola ke sudut kosong di sebelah tepi, lariannya bercita-cita, pertahanan Shahdan Raver masuk cuba menyabit tempurung lutut Mylo, namun beliau pantas mengelak, satu sudah ditewaskan, Mylo berhadapan dengan penjaga gol yang mula keluar dari kawasannya, ruang kian sempit untuk Mylo menjaringkan gol.
"Mylo! Mylo!" Tempik Sepul Kering meminta bola didepan gawang yang ternganga. Tanpa prejudis, Mylo menolak bola secara leret, jauh dari jangkauan keeper lawan, satu sentuhan saja lagi untuk mengesahkan kemenangan buat Ijat baung, harapan pada Sepul kering ketika itu, penonton mula berdiri, ego pasukan Shahan Raver bakal tercalar. Bola bergolek melintasi gawang, tidak laju dan tidak perlahan, sesedap oren. Sepul bersedia untuk satu tapping mudah, namun.. Entah bagaimana, tapping itu tak dilakukan, kaki Sepul Kering seperti tak terdaya bergerak, bola melintasi gawang yang terbuka, dan juga kakinya yang tak bermaya sebelum keluar di garisan luar court. Sayang, sedikit sahaja sentuhan yang diperlukan, kata orang andai terkena bulu roma sekalipun, bola tu mesti akan masuk punya, bayangkanlah betapa hampirnya tu.
"WOII!! KEJANG KE APA?!! BODOH SIAK TAK GOL! BODOH!!"
Entah suara siapa yang berteriak perkataan Kejang ketika itu tak dapat dipastikan sehingga ke hari ini. Namun berita Sepul Kering terlepas peluang mudah menjadi bualan orang kampung di Manong selama seminggu. Akhirnya sebuah kelab bolasepak yang beradat ditubuhkan dan diberi nama KEJANG UNION. Selepas dari itu Kejang tak menoleh kebelakang lagi, mereka boleh kalahkan Shahdan Raver bila-bila masa saja yang mereka rasa nak menang. Bila mereka rasa tak nak menang pun mereka masih boleh menang lagi. Bayangkan, bayangkan.

Comments
Post a Comment